02
Feb
10

Virus Komputer

Komputer ataupun hasil kerja anda mungkin pernah ataupun kerap diserang oleh virus komputer dan setiap kali diserang anda akan merungut.  Ini adalah kerana virus akan merosakkan segala usaha anda dan tidak ketinggalan juga komputer anda mungkin akan menjadi lembap. Jadi amat penting untuk anda mengetahui serba sedikit tentang virus komputer agar selepas ini anda akan lebih berhati-hati.


Virus komputer ialah nama yang diambil dari virus biologi, merupakan program komputer yang berupaya menyalin dirinya sendiri dan menjangkiti komputer tanpa kebenaran ataupun pengetahuan pengguna. Bagaimanapun perkataan virus biasanya digunakan bagi merujuk kepada pelbagai jenis perisian perosak yang berlainan. Virus yang asal mungkin mengubah suai salinannya atau salinan itu sendiri yang mengubah suai dirinya, seperti dalam virus metamorf. Virus hanya boleh tersebar apabila hosnya sampai ke komputer lain, contohnya melalui rangkaian atau perantara mudah alih seperti cakera liut, cakera padat atau pemacu kilat USB. Selain itu, virus juga boleh merebak dengan menjangkiti fail pada sistem fail rangkaian atau mana-mana sistem fail yang dicapai komputer lain.

Sesetengah virus direka untuk menjejaskan komputer dengan merosakkan atur cara, menghapuskan fail, atau memformat semula cakera keras, manakala virus-virus yang lain direka bukan untuk merosakkan apa-apa, tetapi hanya untuk menyalin diri dan mungkin untuk menonjolkan kewujudannya melalui pemaparan teks, video, atau pesanan audio. Walaupun virus yang kedua ini tidak berbahaya, ia juga boleh menimbulkan masalah kepada pengguna komputer kerana ia menelan ingatan komputer yang digunakan oleh atur cara yang sah. Oleh yang demikian, ia seringnya mengakibatkan tindakan yang tidak menentu dan boleh mengakibatkan kerosakan sistem. Selain itu, banyak virus juga mengandungi pepijat yang boleh mengakibatkan kerosakan sistem dan kehilangan data.

Virus komputer kekadangnya dikelirukan dengan cecacing komputer dan kuda Trojan. Kedua-dua ini berbeza dari segi bahawa cecacing boleh merebak ke komputer yang lain tanpa memerlukannya dipindahkan sebagai sebahagian fail perumah, manakala kuda Trojan adalah fail yang kelihatan tidak berbahaya sehingga dilaksanakan. Berbeza dengan virus, kuda Trojan juga tidak memasukkan kodnya ke dalam fail-fail komputer yang lain.

Banyak komputer peribadi kini dihubungkan dengan internet serta rangkaian kawasan setempat dan dengan itu, memudahkan perebakan virus. Ia mengambil kesempatan yang diberikan oleh perkhidmatan rangkaian seperti sistem-sistem Jaringan Sejagat, e-mel, dan pengongsian fail untuk merebak dan dengan itu, mengaburi perbezaan antara virus dengan cecacing komputer. Tambahan pula, sesetengah sumber menggunakan istilah alternatif yang mentakrifkan virus sebagai mana-mana bentuk perisian jahat penyalinan diri.

Mengapa orang mencipta virus komputer

Berbeza dengan virus biologi, virus komputer:

  • tidak mengembangkan diri;
  • tidak wujud secara spontan dan tidak dicipta oleh pepijat atur cara biasa; ia dicipta secara sengaja oleh para pengaturcara atau orang yang menggunakan perisian mencipta virus; dan
  • hanya boleh membuat apa-apa yang ditetapkan oleh pengaturcara.

Para pencipta virus mempunyai berbagai-bagai alasan untuk mencipta dan menyebarkan perisian jahat. Virus-virus telah dicipta sebagai projek penyelidikan, usikan, dan laku musnah, serta juga untuk menyerang produk syarikat-syarikat tertentu, menyebarkan pesanan politik, dan memperoleh keuntungan daripada pencurian identiti, perisian pengintipan (spyware), dan pemerasan kriptovirus.

Sesetengah penulis virus menganggap ciptaan mereka sebagai seni, dan melihat penulisan atur cara virus sebagai suatu hobi yang kreatif. Tambahan pula, banyak penulis virus menentang rutin-rutin yang ditulis semata-mata untuk melakukan pemusnahan. Selain itu, banyak penulis virus juga menganggap sistem-sistem yang diserang oleh mereka sebagai suatu cabaran intelektual atau satu masalah logik untuk diselesaikan. Ini berganda apabila permainan kucing dengan tikus itu terhadap perisian anti-virus dijangka.

Sesetengah virus bertujuan untuk merupakan “virus baik”. Ia menyebarkan perbaikan kepada atur-atur cara yang dijangkitinya, atau menghapuskan virus-virus yang lain. Walaupun demikian, virus-virus sebegini adalah agak jarang. Ia masih menelan sumber sistem, dan mungkin akan menjejaskan sistem yang dijangkitinya tanpa sengaja serta juga kekadangnya dijangkiti oleh virus yang lain dan bertindak pula sebagai vektor untuk virus jahat. Tanpa disengajakan, atur-atur cara “virus baik” yang tidak ditulis dengan teliti juga boleh menjadi virus yang mendatangkan keburukan pada dirinya (umpamanya, ‘virus baik’ yang sebegini boleh salah mengecam fail sasaran dan dengan itu, salah menghapuskan fail sistem). Tambahan pula, ia biasanya bertindak tanpa meminta sebarang kebenaran daripada pemilik komputer. Oleh sebab kod penyalinan diri menimbulkan banyak kerumitan, adakah sesuatu virus yang bertujuan baik boleh menyelesaikan masalah dengan cara yang lebih baik, berbanding dengan atur cara biasa yang tidak menyalin diri, boleh dipersoalkan.

Dengan pendek kata, tidak adanya satu jawapan yang tunggal yang mungkin merangkumi seluruh demografi penulis virus yang begitu luas. Dalam kebanyakan bidang kuasa, pembebasan virus komputer (serta juga cecacing) merupakan suatu jenayah komputer.

Vektor dan perumah

Virus-virus telah menyasarkan berbagai-bagai jenis medium penghantaran atau perumah. Senarai yang berikut adalah tidak lengkap:

  • Fail boleh laku perduaan, seperti fail COM dan fail EXE untuk MS-DOS, fail Boleh Laku Mudah Alih untuk Microsoft Windows, dan fail ELF untuk Linux;
  • Rekod But Jilid untuk cakera liut dan petak cakera keras;
  • Rekod but induk (MBR) untuk cakera keras;
  • Fail skrip serba guna, seperti fail kelompok untuk MS-DOS dan Microsoft Windows, fail VBSkrip, serta juga skrip cangkerang untuk pelantar bak Unix;
  • Fail skrip khusus atur cara penggunaan, seperti skrip Telix;
  • Dokumen yang boleh mengandungi makro, seperti dokumen Microsoft Word, hamparan Microsoft Excel, dokumen AmiPro, dan fail pangkalan data Microsoft Access; dan
  • Kerentanan penskripan tapak silang untuk penggunaan web.

Vektor-vektor yang tidak sesuai dihuni

Adalah susah, walaupun bukan tidak mungkin, bagi virus-virus mengekori fail sumber kerana bahasa-bahasa komputer dicipta juga untuk mata manusia dan operator-operator yang berpengalaman. Walaupun demikian, virus-virus amat tidak mungkin dapat mengekori fail data seperti fail-fail MP3, MPG, OGG, JPG, GIF, PNG, MNG, PDF, dan DVI (senarai jenis fail yang umumnya boleh dipercayai ini adalah tidak lengkap).

Walau jika sesuatu virus dapat ‘menjangkiti’ fail sebegini, ia tidak akan dapat dilaksanakan kerana tidak adanya sebarang cara untuk kod virus berbuat demikian. Bagaimanapun, suatu kaveat harus disebut tentang fail PDF yang, serupa dengan fail HTML, boleh berpaut dengan kod jahat. Tambahan pula, limpah atas penimbal dalam sesebuah atur cara yang membaca fail data boleh dieksploitasikan dan digunakan untuk mencetuskan pelaksanaan kod yang tersembunyi dalam fail data. Namun begitu, kesan serangan ini dapat dikurangkan dengan ketara oleh seni bina komputer yang mempunyai bit tak boleh laksana.

Adalah memadai untuk memerhatikan bahawa sesetengah pencipta virus telah menulis sambungan fail .EXE pada hujung .PNG (misalnya), dengan harapan bahawa para pengguna akan berhenti pada jenis fail yang dipercayai tanpa perasan bahawa komputer akan memulakan pelaksanaannya dengan jenis fail yang terakhir. Ini semua adalah taktik jahat bagi mengaburi pengguna, jadi awas!!! terhadap fail-fail .EXE @.PNG kerana ianya mungkin virus.

Sumber :- Wikipedia


0 Responses to “Virus Komputer”



  1. Leave a Comment

Leave a comment



Masa Itu Emas…

Buat Renungan…

"Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama yang harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan..."

Countdown

Arkib

UNTAIAN KATA-KATA…

Anda pengunjung ke…

Counter Powered by  RedCounter
Diurus & ditadbir oleh lee_sdj@yahoo.com sejak Jan 2010