09
Feb
10

7 Ciri Cemerlang Orang yang Positif

Artikel motivasi ini memaparkan ciri-ciri, sikap-sikap dan sifat-sifat atau jati diri cemerlang orang-orang yang positif.

1. Semakin Tercabar, Semakin Kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!

Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam “exhaust pipe”, semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! Itulah yang amat kita kagumi mengenai YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad; semakin tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi keperibadian dan idea-idea beliau. Dunia juga amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran Dr. Mahathir.


2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!

Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk membina penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun. Lepas Perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang sangat teruk; banyak syarikat muflis; ramai orang yang hilang harapan. Tetapi, Onassis telah nampak suatu peluang. Ia sedar yang tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang; kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika Syarikat itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal tersebut sudah boleh digunakan untuk mengangkut barang-barang dan minyak untuk diperdagangkan. Onassis telah dapat melihat peluang dalam kegawatan manakala, orang lain lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.

3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh
Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.

Seperti pesanan Paul Getty; untuk mencapai sesuatu kejayaan, kita perlu membuat dua perkara:

Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!

4. Tidak Menyalahkan Keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermain-mainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis.

Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya yang selalu mengejek-ejeknya bahawa ia lebih baik daripada mereka. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau telah menjadi Maharaja Perancis – menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya, serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

5. Sentiasa Mencari Jalan Membaiki Diri
Orang yang positif sedar bahawa apa yang dilihat sebagai terbaik pada hari ini mungkin hanya dinilai sebagai sederhana saja sepuluh tahun akan datang. Oleh kerana itu, orang yang positif tidak henti-henti mencari jalan dengan bersungguh-sungguh untuk membaiki kehidupannya.

Selaras dengan itu, Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: “Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia.”

6. Mendengar Dahulu Pendapat Orang Lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln pernah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada rakyatnya, akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan atau kalah dalam keadaan yang mengaibkan.

Inilah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin termasuk di negara kita. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan mata, hati, dan fikiran terhadap setiap rintihan rakyat (pengundi) sama ada yang tersurat atau tersirat. Jika ini dapat diamalkan, insyaAllah rakyat akan merasa sentiasa terbela dan terus memberi sokongan. Jika tidak, rakyat boleh bertindak balas! Rakyat adalah pelanggan yang mesti diberi layanan yang cemerlang dan kepuasan oleh pemimpin (wakil rakyat).

7. Sentiasa Bangun Apabila Terjatuh
Orang yang positif tidak gemar dengan sikap berputus asa. Orang positif memandang sesuatu kegagalan itu di sudut positif. Mereka memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan. Oleh kerana itu, orang-orang yang positif walau betapa teruknya mereka jatuh, akan terus berusaha untuk bangun semula serta berusaha mengukir kejayaan yang lebih besar daripada sebelum mereka mengalami kegagalan.

Oleh itu, janganlah sekali-kali berputus asa. Sikap berputus asa adalah amalan syaitan. Allah mencintai makhluk-makhlukNya yang positif dan cekal serta sentiasa memohon keredaanNya. InsyaAllah.

Oleh :- Taidin Suhaimin (UGMC)


0 Responses to “7 Ciri Cemerlang Orang yang Positif”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



Masa Itu Emas…

Buat Renungan…

"Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama yang harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan..."

Countdown

Arkib

UNTAIAN KATA-KATA…

Anda pengunjung ke…

Counter Powered by  RedCounter
Diurus & ditadbir oleh lee_sdj@yahoo.com sejak Jan 2010

%d bloggers like this: