11
Mar
10

Sukan jamin masa depan

Datuk Lee Chong Wei...Jaguh Badminton Negara

MASYARAKAT masih belum bersedia sepenuhnya menerima sukan sebagai satu kerjaya. Satu perniagaan dan satu punca pendapatan yang lumayan.

Ibu bapa khasnya masih ragu. Bimbang masa depan anak-anak tidak terjamin jika aktif bersukan. Mereka lebih rela anak aktif dalam aktiviti seni. Menyanyi dan berlakon. Boleh jadi seperti Mawi, Datuk Siti Nurhaliza atau Dania Danielle. Mewah dan glamor.

Walhal ahli sukan juga tidak kurang hebatnya. Lihat sahaja Datuk Nicole Ann David. Pada usia 15 tahun sudah menjadi juara dunia remaja. Setahun kemudian dia menjadi 10 pemain terbaik dunia. Menjuarai kejohanan Asia sebanyak lima kali pada tahun 1998, 2000, 2002, 2004 dan 2006. Beliau dinobatkan juara dunia termuda pada Disember 2005 dan pemain nombor satu dunia pada usia 23 tahun.

Kita juga ada pelumba basikal bertaraf dunia, Azizulhasni Awang dan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei. Begitu juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh yang kini menjadi pengulas sukan di saluran televisyen antarabangsa.


Mereka semua berjaya. Berpendapatan tinggi dan daripada pelbagai sumber. Melalui hadiah kewangan, penajaan dan insentif kerajaan. Mungkin nanti bila sudah setaraf Tiger Woods atau Maria Sharapova, atlet negara boleh mengenakan yuran penampilan dalam mana-mana kejohanan yang mereka sertai.

Menyedari potensi ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewajibkan setiap murid mengambil bahagian dalam satu acara sukan mulai tahun depan.

Dalam perkembangan terkini, Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu bahagian khas untuk sukan. Sebelum ini sukan diletakkan bersama kokurikulum dan seni. Markah kredit juga diberikan untuk pelajar yang aktif dalam sukan dan dijadikan salah satu faktor penentu untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Matlamat beliau adalah untuk mengembalikan kegemilangan sukan negara seperti yang pernah dicapai pada 10 atau 20 tahun lepas khususnya dalam bola sepak.

Kita pernah layak ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman Barat pada 1972 dan di Moscow, Rusia pada 1980. Bagaimanapun, kita memboikot temasya di Moscow kerana membantah pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.

Jika waktu itu, hanya dengan semangat patriotik yang berkobar-kobar, kita boleh melakukannya. Mengapa tidak sekarang?

Kemudahan infrasturktur kita berkelas dunia. Sekolah sukan pun ada. Apatah lagi insentif kewangan.

Sejak 2005, kerajaan memberikan imbuhan tetap bulanan kepada pemenang pingat Olimpik. Pemenang pingat emas menerima RM3,000 setiap bulan, diikuti RM1,500 untuk perak dan RM1,000 gangsa. Imbuhan ini untuk sepanjang hayat mulai tarikh mereka memenangi kejohanan dunia itu. kadar imbuhan itu adalah sama bagi ahli sukan yang mengambil bahagian dalam acara individu atau berpasukan.

Penerima skim ini ialah Razif dan Jailani Sidek yang memperoleh gangsa di Barcelona pada 1992, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock menang pingat perak di Atlanta pada 1996 serta Rashid Sidek yang memenangi pingat gangsa, juga di Atlanta pada 1996.

Manakala skim insentif Olimpik pula, pemenang pingat emas Olimpik akan menerima habuan RM160,000, manakala pingat perak dan gangsa, menawarkan RM80,000 dan RM40,000 masing-masing.

Selain ganjaran kewangan, sumbangan atlet turut diiktiraf dalam bentuk darjah kebesaran dan pemberian tanah.

Misalnya pasukan badminton negara yang berjaya menjuarai Piala Thomas pada 1992 telah diberi sebidang tanah setiap seorang. Ahli sukan bergelar Datuk juga ramai. Sama ada masih aktif atau telah bersara. Tetap dihargai dan disanjung.

Dalam sukan bola sepak pula, tidak perlu layak ke Piala Dunia. Menjadi juara Piala Malaysia pun sudah memadai. Ganjaran datang melimpah-ruah. Gaji mereka juga ‘kencang’. Sesetengah pemain menerima gaji yang mencecah lima angka. Bergantung kepada kemahiran masing-masing.

Hakikatnya, sukan boleh memberi kemewahan dan dijadikan satu kerjaya pilihan. Cuma ia menuntut kesungguhan dan disiplin yang tinggi oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat.

Ubah persepsi dan buat anjakan pemikiran.Kenali potensi dan kecenderungan anak-anak.

Jika mereka pintar, berikan pendidikan akademik yang terbaik. Jika minatnya sukan, latih mereka sehingga menjadi juara dunia.

Contohi Keluarga Sidek yang hebat dalam badminton, Nurulhuda Abdullah dalam sukan renang atau Shalin Zulkifli, ratu bowling negara. Mereka lahir daripada komitmen jitu ibu bapa masing-masing sebelum dikembangkan melalui persatuan dan Majlis Sukan Negara.

Oleh: – AZMY MOHAMED azmymohd@utusan.com.my


0 Responses to “Sukan jamin masa depan”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



Masa Itu Emas…

Buat Renungan…

"Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama yang harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan..."

Countdown

Arkib

UNTAIAN KATA-KATA…

Anda pengunjung ke…

Counter Powered by  RedCounter
Diurus & ditadbir oleh lee_sdj@yahoo.com sejak Jan 2010

%d bloggers like this: