31
Mar
10

Jangan Politikkan Isu Pendidikan

KUALA LUMPUR, 30 Mac  — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar tidak mempolitikkan isu pendidikan di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sehubungan itu, kerajaan mengambil pendirian bahawa pertemuan PIBG dengan pihak sekolah tidak seharusnya dijadikan landasan bagi membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.

“Kita punya pandangan PIBG ini sepatutnya memberi tumpuan terhadap soal bagaimana nak menambah baik pelajaran di sekolah itu, bukan soal isu dasar, tapi soal macam mana nak membantu supaya sekolah itu maju ke depan, bantu muridnya, bantu gurunya dan sebagainya.

“Itu tumpuan yang seharusnya diberikan, sebab itu kita bataskan, bukan sebab kita nak sekat, tak usahlah bincang soal polisi, polisi kat luar pun boleh bercakap,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Diraja di Dewan Rakyat di sini hari Selasa.

Beliau berkata, ibu bapa tidak dihalang mengemukakan pendapat, cadangan atau kritikan berhubung sesuatu dasar atau polisi dan mereka boleh berbuat demikian melalui forum atau saluran lain di luar sekolah seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) apakah ibu bapa dan PIBG akan diberi autonomi atau ruang mengemukakan idea atau kritikan berhubung dasar dan polisi pendidikan negara.

Selain itu, beliau meminta semua pihak di negara ini menerima Dasar Pelajaran Kebangsaan yang memberikan keutamaan kepada sekolah aliran kebangsaan.

“Malangnya, ada orang cuba mempolitikkan keadaan ini seolah-olah kerajaan mengabaikan dan tidak memberikan pertimbangan yang adil dan saksama dengan memberikan peruntukan yang sedikit berbanding yang diberikan kepada sekolah kebangsaan.

“Kita ada 5.6 juta anak-anak kita di sekolah kebangsaan dan kira-kira 500,000 hingga 600,000 murid di sekolah jenis kebangsaan, jadi yang mana satu harus kita utamakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap isu itu tidak dipolitikkan sebaliknya meminta semua pihak membantu kerajaan untuk menjayakan Dasar Pelajaran Kebangsaan tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Muhyiddin juga berkata pendidikan prasekolah akan terus diperkasa serta dijadikan sebahagian daripada aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Sehubungan itu, kementerian akan melaksanakan strategi yang komprehensif dan bersepadu antaranya melalui Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan untuk semua agensi pelaksana termasuk prasekolah swasta bagi tujuan penyeragaman serta peningkatan kualiti pendidikan prasekolah.

“Di samping itu, pihak swasta juga digalakkan untuk menyediakan pendidikan prasekolah melalui penyediaan pelbagai insentif oleh kerajaan seperti pinjaman pelancaran dan mempermudahkan prosedur dan proses penubuhan kelas prasekolah swasta.

“Usaha tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20 peratus menjelang 2012,” katanya.

Beliau berkata program Permata yang sebelum ini berada di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri kini diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran.

Muhyiddin berkata piawaian pendidikan negara adalah tinggi dan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan kementerian juga telah menjemput pakar-pakar luar bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa.

Bagi membentuk modal insan yang berkemahiran, mata pelajaran vokasional ditawarkan di sekolah menengah harian dalam bentuk hands-on seperti yang dilaksanakan di Sekolah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional.

Sehubungan itu, kementerian mensasarkan penambahan seratus peratus enrolmen menjelang 2015.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10, kementerian akan mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan 2,940 projek baru dan 942 projek sambungan dengan anggaran kos RM14.17 bilion.

Selain itu, beliau berkata akan memperjuangkan laluan kerjaya yang lebih menarik kepada guru yang telah lama berkhidmat.

–Bernama


0 Responses to “Jangan Politikkan Isu Pendidikan”



  1. Leave a Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s



Masa Itu Emas…

Buat Renungan…

"Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama yang harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan..."

Countdown

Arkib

UNTAIAN KATA-KATA…

Anda pengunjung ke…

Counter Powered by  RedCounter
Diurus & ditadbir oleh lee_sdj@yahoo.com sejak Jan 2010

%d bloggers like this: